Thursday, March 29, 2012

Empat Ciri-ciri Orang Bertakwa Yang Akan Memasuki Syurga Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri , mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui." (Surah Ali Imran ayat 133-135)

Dalam ayat diatas, Allah SWT memotivasi umat Islam agar bersegera meraih impian yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka iaitu syurga tempat kesenangan yang diharapkan. Tempat yang dipenuhi dengan segala keindahan. Motivasi agar bersegera menuju syurga Allah SWT berikan agar umat Islam tidak lalai dan leka.

Dalam ayat di atas juga Allah SWT telah menyatakan bahawa Dia telah menyediakan syurga yang luas iatu seluas langit dan bumi kepada orang-orang yang bertakwa . Apakah ciri-ciri orang yang bertakwa?

Ciri-ciri orang bertakwa adalah seperti berikut :

Pertama : Orang yang menafkahkan hartanya (suka bersedekah)  samaada ketika susah atau senang.

Kedua : Orang-orang yang mampu menahan perasaan marahnya.

Ketiga : Orang-orang suka memaafkan kesalahan orang lain.

Keempat : Orang yang sentiasa memohon ampun kepada Allah SWT apabila melakukan kesalahan dan dosa.

Huraiannya :

Pertama : Orang yang menafkahkan hartanya (suka bersedekah)  samaada ketika susah atau senang.

Salah satu amalan yang terbaik bagi setiap orang Mukmin adalah bersedekah. Bersedekah dapat membersihkan hati daripada sifat kikir dan bakhil. Sedangkan bakhil adalah satu sifat yang dicela oleh Allah SWT. Bersedekah bukan hanya terletak pada pemberian berbentuk wang ringgit sahaja tetapi semua kebaikan dan amal soleh adalah dikira juga sebagai sedekah.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :"Tiap anggota badan dari manusia wajib atasnya melakukan sedekah tiap hari apabila terbit matahari. Engkau mendamaikan dua orang (yang berselisih) itu adalah sedekah, menolong orang berkenaan dengan tunggangannya (kenderaannya), engkau mengangkatnya atau mengangkat barang-barangnya keatas tungganganya itu adalah sedekah. Dan kata-kata yang baik itu adalah sedekah, dan setiap langkah kaki untuk solat itu adalah sedekah serta menyingkirkan sesuatu rintangan dari jalan itu adalah sedekah." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”  (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Kedua : Orang-orang yang mampu menahan perasaan marahnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”
(Surah Al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Ketiga : Orang-orang suka memaafkan kesalahan orang lain.

Salah satu di antara ajaran Islam yang sangat agung adalah ajaran untuk saling memaafkan. Memafkan berarti orang lain yang yang mempunyai kesalahan kemudian kita memberi maaf. Sementara kalau kita yang mempunyai kesalahan maka wajib bagi kita untuk meminta maaf.

Orang yang mulia adalah orang yang suka memafkan. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahwasannya Rasulullah S.A.W. bersabda:

Musa bin Imran a.s, berkata: "Wahai Tuhanku diantara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? "Allah Azza Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ ( Hadis Riwayat Baihaqi )

Memafkan sesaorang yang kita tidak mampu membalasnya adalah baik dan sedikit wajar, kerana kedudukan kita pada saat itu lemah. Sementara memaafkan seseorang yang kita mampu untuk membalasnya adalah lebih baik dan lebih mulia karena pada saat itu kedudukan kita kuat dan boleh melakukan apa saja. Ketika seseorang berusaha untuk menjadi pemaaf berarti ia telah berusaha untuk meniru sifat Allah S.W.T. iaitu Al-‘Afuwwu yang Maha Pemaaf. Sesaorang yang memaafkan orang lain adalah orang yang cuba menghilangkan luka hatinya akibat kesalahan yang di lakukan orang lain terhadapnya.

Sifat pemaaf adalah satu daripada sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu muslim.

Keempat : Orang yang sentiasa memohon ampun kepada Allah SWT apabila melakukan kesalahan dan dosa.

Setiap manusia ada melakukan kesalahan dan dosa. Sebaik-baik mereka yang bersalah adalah minta ampun dan bertaubat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW  sendiri bersifat maksum dan telah di ampunkan dosa baginda yang dahulu dan akan datang oleh Allah SWT tetap beristigfar 100 kali sehari. Sepatutnya kita lebih dari itu kerana betapa banyaknya dosa dan kesalahan-kesalahan yang kita lakukan terhadapNya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali" (Hadis Riwayat Muslim).

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Bukti penyesalan ialah mengaku dosa dan tidak lari dari tanggungjawab untuk menerima akibatnya. Seterusnya, meminta maaf kepada manusia yang dizalimi dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Demikianlah, yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. dan Hawa setelah memakan buah terlarang. Keduanya berkata : "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi."
(Surah Al-A'raf ayat 23)

Diikuti Nabi Nuh a.s. yang memohon keampunan kerana hasrat untuk syafaatkan anaknya ditolak Allah SWT. Nabi Nuh a.s. berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dan memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tidak mengetahui hakikatnya. Jika sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku dan tidak menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang-orang yang rugi."
(Surah Huud ayat 47).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama kembali kepada Allah SWT dan sentiasa memohon ampun kepada-Nya setiap masa dan ketika kerana sebagai manusia kita sering melakukan dosa dan kesalahan samaada kita ketahui atau tidak. Hayatilah empat sifat orang yang bertakwa seperti di atas iaitu suka bersedekah, dapat mengawal perasaan marah, mudah memaafkan kesalahan orang lain dan sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.


Wednesday, March 28, 2012

Kenapa Umat Islam Sekarang Suka Memfitnah dan Mendedahkan Aib Saudaranya?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkembangan mukthair ini setiap hari akan ada berita-berita sensasi dalam akhbar arus perdana, umat Islam sesama mereka berlumba-lumba mengaibkan saudaranya seagama, malah berasa bangga apabila pihak lawannya tidak mahu saman ke mahkamah atau membisu tidak mahu melayan cabarannya. Orang yang suka mengaibkan orang lain adalah mereka yang ego, sombong dan takabur.

Amalan songsang ini bertentang sungguh dengan roh Islam, adab-adab yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan menyalahi dengan sifat orang mukmin iaitu yang bersifat lemah lembut dan bertolak ansur. Budaya melayu juga mengajarkan kita supaya menghormati orang lain dan beradab sopan. Paling mendukacitakan orang yang sanggup mencari aib orang lain adalah berpelajaran tinggi, pakar motivasi, bercakap untuk memperjuangkan Islam dan melayu dan mampu berpidato berapi-rapi mengajak hadirin berakhlak Islam dan memperjuangkan Islam.

Jika kita melayari blog-blog politik di alam maya samaada yang menyokong parti pemerentah atau pembangkang,  kita akan bertembung dengan perdebatan yang mengaibkan satu sama lain. Perkataan maki hamun, sumpah seranah, hina menghina, fitnah memfitnah, mengadu domba, laknak melaknat dan gambar-gambar superimpose (gambar palsu) berleluasa di mainkan oleh pihak-pihak yang bermusuhan.

Apakah perubahan sikap dan akhlak umat Islam sekarang ini sudah berubah? Daripada sikap berlemah lembut dan adab sopan , kasih mengasihi sesama saudara muslim sudah bertukar menjadi ganas, penuh dendam kesumat, hasad dengki dan kebencian yang memuncak? Di mana letak iman mereka sebenarnya? Nabi SAW ada menjelaskan bahawa tidak ada iman bagi mereka yang tidak mengasihi saudaranya sebagaimana mereka mengasihi diri mereka sendiri

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya” (Hadis riwayat At-Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)

Apakah umat Islam yang terlibat itu sudah tidak takut kepada Allah SWT, tidak takut kepada kematian dan seksaan dialam barzakh dan hari akhirat? dan tidak takut kepada seksaan api neraka yang disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang melakukan fitnah, maki hamun, mengadu domba dan hasad dengki?

Adakah mereka menganggap dengan mengeluarkan perkataan maki hamun, sumpah seranah, menyuburkan fitnah , menjadi penyokong fanatik kepada parti dan pemimpin mereka, mereka akan dikasihi oelh Allah SWT dan akan di masukkan kedalam syurga? Nauzubillahiminzalik,

Hakikat sebenarnya mereka sudah tertipu dengan kerja-kerja iblis laknatullah, mereka sudah dikuasai oleh nafsu amarah sehinggakan tidak ada pertimbangan yang waras dan soal dosa pahala di tolak tepi, yang penting bagi mereka rasa puas apabila kutukan dan sumpah seranah dapat dilepaskan kepada musuh mereka. Soal hendak menjadi muflis atau tidak dihari akhirat itu soal lain yang penting apa yang nafsu mereka hajatkan dapat dipenuhi.

Sahabat yang dimuliakan,
Hidup masa kita sebenarnya untuk istiqamah dengan kebaikan dan bersifat tawaduk amat sukar sekali, kita sering di ajak untuk bersama-sama menyuburkan fitnah dan menjadi pemegang saham dosa besar yang sama bagi mereka-mereka yang menyuburkan fitnah dan dosa-dosa besar. Jika kita share sahaja dalam wall gambar-gambar berupa fitnah atau berita-berita palsu hakikat sebenarnya dosa besar yang orang lain buat sama saja kita akan dapat dan tidak dikurangkan walaupun sedikit. Jika kita komen tanda sokong atau 'like' dalam ruang komen yang berunsur fitnah dan megaibkan orang lain maka kita bersubahat dan bertali arus dosa-dosa besar masuk dalam buku catatan kita. Jika ceramah-ceramah mengaibkan orang lain kita sokong dan bersorak dan tepuk tanggan kita juga dapat saham yang sama seperti penceramah tersebut perolehi.

Firman Allah SWT maksudnya :  “Hai orang-orang yang beriman! Kalau datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu tidak mencelakakan suatu kaum dengan tidak diketahui, kemudian kamu menyesal atas perbuatan itu”  (Surah Al-Hujurat ayat 6)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu kalian perlulah berhati-hati, jangan mudah percaya dan terpedaya dengan berita fitnah, berita palsu, berita mengaibkan orang lain (jika tidak disertai dengan bukti) dan berita-berita tuduhan zina atau liwat yang tidak membawa 4 orang saksi yang adil samaada terdapat dalam akhbar arus perdana, blog, multi media, radio, television, facebook, E-Mail, SMS, MMS, vedio, VCD, risalah-risalah dan  ceramah-ceramah umum. Kesemua medium penyampai maklumat itu jika kita mudah terpengaruh dan mempercayainya akan memudahkan kita menghimpun dosa-dosa besar yang banyak dan tidak mampu kita tanggung di akhirat nanti kerana amal soleh dan amal ibadah kita terlalu sedikit dan tidak mencukupi untuk bayar balik dosa -dosa fitnah kepada orang yang kena fitnah.

 Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah SAW. bersabda maksudnya :”Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (Hadis Riwayat Ibnu Abid Dunya)

Bagaimana sikap kita supaya kita terselamat daripada menjadi muflis atau menanggong dosa besar orang lain? Sebagai seorang mukmin kita diminta menjauhkan diri daripada segala bentuk mengumpat , fitnah dan perkara negatif yang cuba dibawa atau ditonjolkan oleh orang lain. Lebih baik dan selamat kita bersanggka baik dengan saudara seagama daripada kita mengiyakan berita negatif tersebut dan kita banyakkan bersahabat dengan orang soleh yang mukmin dan banyakkan masa untuk menuntut ilmu dan sebarkan ilmu yang bermenfaat.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang muflis di kalangan umatku adalah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bahaya lidah adalah kerana tersebarnya kebatilan agama yang diakibakan oleh lidah mengucapkan kata-kata yang batil ataupun banyak bicara pada hal-hal yang tidak bermanfaat. Kedua-duanya merosakkan masyarakat dan hubungan baik dengan orang lain.

Biasanya masa pilihanraya yang sudah hampir tiba, pembawa-pembawa fitnah akan menjaja dimerata tempat berita-berita palsu, keaiban musuh politiknya samaada aib yang lama atau baru, gambar-gamabar superimpose tuduhan-tuduhan palsu dan sebagainya, sikap kita masuk telinga kanan keluar telinga kiri, jangan pula kita menjadi agent penyambung cerita, atau mengambil upah sebagai juru cakap kerja yang tidak betul. Ini adalah semata-mata untuk menyelamatkan amalan kita tidak supaya tidak terhapus oleh kerana perbuatan kita bersubahat dengan pembawa fitnah tersebut.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri dan mengawal lidah, tangan , telinga dan mata kita supaya semuanya kita gunakan untuk membawa kebaikan dan rahmat kepada sekelian alam. Jika kita menulis , share, sokong atau komen pastikan semuanya mebawa manfaat dan dijauhi daripada dosa fitnah, mengumpat atau mengaibkan orang lain. Inilah yang dikatakan amal soleh yang berterusan , bukan sahaja amal soleh itu berbentuk ibadah tetapi kita bermuamalat dengan saudara seagama dengan cara makruf juga amal soleh maka ganjaran besar menanti kita insya Allah.




Monday, March 26, 2012

Teruskan Bertaubat Jangan Ulangi Kesalahan Yang Sama

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Bertaubat adalah salah satu cara seorang manusia ingin membersihkan diri daripada noda dan dosa yang telah dilakukannya kepada Allah SWT. Kadangkala seseorang telah bertaubat tetapi dia masih mengulangi kesalahan yang sama.

Oleh it bagaimanakah cara-cara untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama?

Beberapa tindakan yang mampu dilakukan untuk mengelak diri daripada mengulangi kesalahan yang sama untuk kedua kalinya. 

Terdapat 4  langkah-langkah yang perlu diambil perhatian iaitu : 

Pertama : Segera bertaubat kepada Allah SWT semoga dosa yang lama diampunkan-Nya dan mengiringi perbuatan dosa dengan kebaikan yang akan menghapuskan dosa.
 
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Seandainya kamu melakukan perbuatan dosa sehingga dosa –dosamu mencapai setinggi langit, kemudian kamu bertaubat nescaya Allah akan mengampuninya (menerima taubatmu)”. (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Seorang yang bertaubat dari suatu dosa seakan-akan tidak pernah memiliki dosa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
 
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila kamu berbuat dosa, maka lakukanlah kebaikan (untuk menghapuskannya.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Kedua : Mengukuhkan azam untuk memperbaiki diri.

Penyebab utama seseorang menjadi lemah di hadapan dosa-dosa adalah kerana ketiadaan atau lemah tekad untuk menghidarinya sehingga mudah untuk melakukan dosa secara berulang kali.

Firman Allah dalam Surah Thaha ayat 115 yang bermaksud: "Dan Sesungguhnya Telah kami pesankan kepada Adam dahulu, tetapi dia lupa (akan perintah itu), dan tidak kami dapati padanya kemauan yang kuat."

Perintah Allah SWT ini tersebut dalam ayat 35 surat Al Baqarah yang bermaksud:

"Dan kami berfirman: "Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim."

Ketiga : Mencari suasana yang baik untuk membaiki diri. Apabila berada di kalangan orang yang baik-baik maka orang akan rasa malu untuk melakukan dosa.

Itulah hikmah orang yang membunuh 100 orang dianjurkan untuk berhijrah ke tempat lain yang didiami oleh orang yang baik-baik dan rajin beribadah kepada Allah SWT.

Keempat : Memohon perlindungan daripada Allah SWT dan memperbanyakkan zikir. Seorang perlu memohon perlindungan daripada Allah SWT  daripada gangguan syaitan yang terkutuk. 

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya."(Surah Al- Araf ayat 201)

Sahabat yang dimuliakan,
Diantara sifat orang mukmin yang mendapat kelazatan iman ialah sentiasa menyedari bahawa maksiat adalah cabang kepada kekufuran. Kekufuran akan menyebabkan ia tercampak ke dalam neraka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Ada tiga sifat, barangsiapa yang pada dirinya terdapat 3 sifat ini, ia akan merasakan kelazatan iman: .... ia membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkan dirinya dari kekafiran sebagaimana ia membenci apbila dilemparkan ke dalam api neraka.” (Muttafaqun ‘Alaih).

Hendaklah kita mempelajari segala hal yang berkaitan dengan dosa dan akibat buruk serta negatif daripada perbuatan dosa tersebut agar berwaspada dan menjauhkan diri daripada dosa berkenaan.

Seorang mukmin yang bertaubat ialah orang yang mengambil pengajaran daripada kesalahan diri sendiri. Tetapi lebih banyak lagi jika mengambil pengajaran daripada perbuatan atau kesalahan orang lain agar tidak melakukan kesilapan atau kesalahan yang sama.

Sunday, March 25, 2012

Sifat Orang Mukmin Cinta Pada Masjid

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Masjid ialah jantung umat Islam. Ia bukan sahaja menyediakan tempat kepada umat untuk solat malah ia mengerakkan umat untuk cergas dan melakukan semua perubahan hari demi hari. Sesiapa sahaja di kalangan orang Islam secara ikhlas datang ke masjid akan menjadi tetamu Allah. Ia akan mendapat kedamaian hati daripada keberkatan masjid. Jika ia duduk dalam masjid membaca Al-Quran, berzikir, mengikuti majlis ilmu dan menunaikan solat sunat maka tingkah laku dan sikapnya akan terpimpin. Perhubungan hati dan jiwanya dengan Allah SWT. semakin hampir dan akan memperolehi ketenangan dalam jiwanya.

Menurut satu hadis dari Nabi SAW. bahawa salah satu golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah SWT. di hari kiamat nanti adalah insan yang hati dan jiwanya terpaut dengan masjid.

Dari Abu Hurairah r.a. yang berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : " Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang dengannya Allah akan menghapuskan kesalahan dan meninggikan darjat?" Mereka menjawab, " Ya, wahai Rasulullah!" Baginda bersabda, " Menyempurnakan wuduk di saat-saat sulit, banyaknya langkah ke masjid dan menunggu solat (berikutnya) setelah (melakukan solat). Maka itu merupakan pengikat.. itu merupakan pengikat." (Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam masjid juga ia berpeluang berkomunikasi dan bergaul mesra dengan ulama selepas majlis ilmu dan ia akan menjadi proaktif. Jika ia berpegang kepada pengajaran yang di ajar di dalam masjid ahli keluarganya juga akan terselamat dari kesesatan aqidah dan kesesatan cara hidup asing. Dari iktikaf hingga ke majlis ilmu dan khutbah, umat Islam sentiasa digerakkan supaya aktif membaiki iman, akhlak, jatidiri dan gaya hidup. Masjid menyiar dan melaungkan keagungan Allah SWT dan Deen Islam. Selagi Al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW terpelihara, selagi itu pengajaran-pengajaran di dalam masjid akan berjaya mendekatkan manusia kepada Allah SWT dan memimpin ke jalan kebenaran.

Masjid ialah pusat pendidikan dan latihan praktikal bagi umat sejak dari peringkat kanak-kanak mumayyiz. Kesan pada hati dan ingatan mereka terpahat hingga hari tua. Mereka akan ke masjid jika berlaku kegelinciran dalam hidup. Sebagaimana Ramadhan bulan rehat dan bulan pembersihan untuk hati yang ternoda pada sepanjang tahun maka begitu juga masjid sebagai tempat mengimbau kesalahan dan keterlanjuran sepanjang hari. Kunjungan lima kali sehari ke masjid diibaratkan sebagai mandi lima kali sehari di dalam sungai yang jernih dan tenang. Oleh itu untuk memulihkan penyakit sosial dalam masyarakat wajib bermula dari masjid.

Sahabat yang dihormati,
Betapa ramai bukan Islam mendapat kesedaran awal ketika berkunjung ke masjid atau mendengar laungan azan yang penuh makna. Melihat kepada tatacara solat berjemaah dilakukan dengan saf yang lurus dan bergerak mematuhi seorang imam. Seorang yang bijak boleh memahami bahawa Islam menyuruh umatnya berdisplin dan mentaati pemimpin yang bertakwa.

Betapa seorang yang bernajis atau berhadas besar dilarang memasuki masjid menunjukkan ia adalah tempat yang suci. Oleh yang demikian, masjid hendaklah dijadikan zon bebas dari sebarang pengaruh kecuali Al-Quran dan Sunah. Ia dibina dan ditadbir oleh orang bertakwa dan orang yang takut hanya kepada Allah SWT. Sehubungan itu, setiap kebenaran yang sepatutnya umat dapat daripada masjid tidak akan disorokkan. Firman Allah SWT. dalan surah At-Taubah ayat 18 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mengerjakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut selain dari Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan mendapat petunjuk."

Sahabat yang dikasihi,
Masjid hendaklah diberikan peranan asalnya sebagai pusat pendidikan, komunikasi dan penyebaran Islam. Sebab itulah Rasulullah SAW membina masjid sejurus sampai di Madinah dalam hijrah yang agong. Daripada masjid itulah terbentuknya tamadun pertama yang adil dan tepat dalam sejarah manusia hingga tempiasnya kita rasa pada hari ini. Oleh itu, untuk mengembalikan kekuatan dan kegemilangan umat Islam hendaklah kembali kepada formula Rasulullah SAW membina umat, antaranya yang utama ialah peranan masjid yang berkesan dalam masyarakat.

Psikologi Kanak-kanak Perlu Kepada Enam Aspek

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkembangan merupakan satu proses yang berterusan dari peringkat lahir hingga peringkat kematangan. Mengikut ahli psikologi perkembangan manusia dari aspek perubahan kerohanian, jasmani, kognitif, emosi, sosial dan kepimpinan. Perkembangan kanak-kanak adalah dipengaruhi oleh dua faktor yang utama iaitu faktor baka dan faktor persekitaran.

Perkembangan juga boleh disifatkan sebagai pengaliran yang saling berkait antara perubahan kuantitatif dan perubahan kualitatif yang menuju ke arah tertentu. Menurut Atan Long (1980), perkembangan ialah perubahan kualitatif. Ia tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana sifat baru berlainan daripada peringkat yang lebih awal. 


Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak. Kesimpulannya perkembangan dapat ditakrifkan sebagai satu perubahan kualitatif yang sistematik meliputi aspek biologi, kognitif dan sosioemosi. Perubahan tersebut adalah berterusan dalam mematangkan dan mendewasakan suatu benda hidup hingga ke akhir hayatnya.

Pertama : Aspek Kerohanian.


Dalam konteks pendidikan Islam, pengajaran berkait rapat dengan konsep fitrah. Kanak-kanak yang lahir adalah mempunyai fitrah yang suci dan baik. Unsur-unsur luar sama ada yang baik atau buruklah yang akan mempengaruhi fitrah kanak-kanak. Jadi adalah amat perlu kanak-kanak diajar dengan unsur-unsur yang dapat mengekalkan fitrah mereka sebagaimana yang dibekalkan kepada mereka sejak lahir. 


Cara untuk mengekalkan kejadian fitrah tersebut adalah dengan memperkembangkan potensi semula jadi mereka berlandaskan ajaran Islam dan membersihkan hati atau rohani mereka yang juga disebut sebagai spiritual. Ini kerana menurut pandangan Islam, kebersihan rohani adalah ciri terpenting yang perlu ada pada setiap umatnya. Jadi, aspek kerohanian juga perlu dimasukkan dalam kurikulum pendidikan Islam. 

Aspek ini akan menjamin kebersihan rohani dan menyucikan jiwa anak-anak Islam daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan akhlak mereka seterusnya dapat menjamin bahawa asosiasi yang bakal dilahirkan nanti menjadi insan yang soleh.

Bagi memastikan aspek kerohanian dapat diperkembangkan melalui Kurkulum Pendidikan Islam, pengetahuan seperti tauhid, akidah, pengetahuan tentang perkara-perkara yang halal dan haram, hukum-hukum syariah Islam, pengetahuan tentang aspek kerohanian dan kehidupan serta pengetahuan tentang realiti alam ini mestilah diajarkan kepada mereka. Doa-doa asas kehidupan dan membaca al-Quran perlulah diajarkan. Aspek ini akan dapat memandu anak-anak Islam untuk memahami tentang kejadian alam ini, penciptanya, memahami diri mereka serta melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang perlu mereka pikul. Anak-anak yang bukan Islam juga boleh diajarkan aspek akhlak yang baik.

Kedua : Aspek Jasmani.

Ahli falsafah barat ada mengatakan “Don’t judge a book by it’s cover”. Falsafah ini menerangkan bahawa kita tidak boleh menilai seseorang itu hanya dari segi luaran sahaja, tetapi perlu melihat dari dalam, barulah membuat kesimpulan. 


Namun dalam konteks ajaran Islam, faktor luaran dan dalaman mempunyai hubungan di antara satu sama lain. Islam bukan sahaja menilai dari segi ilmu pengetahuan yang dimiliki seseorang tetapi juga mementingkan kebersihan diri dan kesihatan fizikal, iaitu aspek luaran. Aspek jasmani perlu seiring dengan ilmu yang dimiliki kerana ia akan mencerminkan keperibadian seseorang. Oleh itu amat perlu agar anak-anak Islam turut diajar tentang cara untuk menjaga kesihatan fizikal atau jasmani.

Sewajarnya kurikulum di sekolah, mengandungi pendidikan khas untuk memelihara kesihatan fizikal atau jasmani murid-murid. Aspek ini bukan sahaja boleh disampaikan melalui mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan tetapi juga melalui Pendidikan Agama Islam. Penjagaan kesihatan perlu ditekankan dalam pendidikan Islam agar anak-anak Islam berpeluang mempelajari dan mengamalkan pengetahuan yang boleh memperkembangkan lagi potensi mereka dari pelbagai sudut. Sekiranya anak-anak Islam mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, bersih dari segi fizikal dan spiritualnya, maka barulah dikatakan dia telah dilengkapi dengan sifat-sifat insan yang soleh dan berkembang secara seimbang serta harmonis dalam pelbagai aspek sebagaimana yang telah digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Ketiga : Aspek Kognitif :

Pada peringkat ini, perkembangan motor kanak-kanak adalah lebih baik dan menunjukkan koordinasi yang lebih baik. Kemahiran motor yang telah dikuasai pada peringkat awal kanak-kanak seperti berlari, memanjat, melompat, dan sebagainya sudah mencapai tahap yang lebih mantap di samping beberapa jenis kemahiran yang baru telahpun dikuasai.

Kemahiran-kemahiran ini adalah seperti lompat tali atau skipping, berenang ,menunggang basikal dan meluncur (skating). Misalnya,kanak-kanak yang berusia 6 tahun sudah boleh melakukan aktiviti seperti mengetuk, mengikat tali kasut, memakai pakaian, melukis dengan menggunakan pensel untuk menggantikan krayon, dan tulisan mereka menjadi semakin kecil. Kanak-kanak antara 8 hingga 10 tahun pula boleh menggergaji, mengendalikan alatan untuk berkebun dan menjahit. Bagi mereka yang sudah berusia antara 10 hingga 12 tahun, tulisan mereka semakin kecil dan kemas, dan mereka telahpun menunjukkan kemahiran manipulatif yang hampir sama dengan orang dewasa.

Ibu bapa dapat mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak dengan memindahkan pengetahuan berkenaan maklumat dan budaya dalam menunjuk ajar mereka melalui tingkah laku ibu bapa itu sendiri.

Keempat : Aspek Emosi.


Emosi berkait rapat dengan mental dan kebolehan seseorang mengawal perasaan dalam semua tindak-tanduknya. Seseorang yang mampu mengawal emosinya akan juga dapat menjaga tingkah-lakunya. Manakala akal pula menjalankan tugasnya sebagai pengawal kepada emosinya. Sekiranya seseorang mampu menjaga akalnya, maka dia juga akan mampu mengawal emosinya.

Akal merupakan salah satu punca pengetahuan selain daripada deria dan intuisi. Sekiranya asosiasi yang hendak dididik itu mempunyai tahap kewarasan akal yang baik, maka mereka akan mampu mencapai tahap ilmu pengetahuan yang tertinggi serta dapat menggunakan pengetahuan tersebut dengan sebaik mungkin. 


Mengikut ahli-ahli falsafah Islam, selain mempunyai fungsi tersendiri, akal juga mempunyai beberapa kelebihan. Di antara kelebihan akal ialah, akal diibaratkan sebagai cahaya yang menerangi manusia di dalam gelap gelita yang menunjuknya pada kebenaran. Akallah yang mengajar manusia mengambil kesimpulan yang benar berdasarkan pengalaman yang lampau, yang memungkinkan manusia menilai pemikiran sendiri dan membezakan antara ilmu yang betul dengan khayalan kosong.

Huraian di atas menunjukkan betapa pentingnya manusia mengawal emosi dengan menggunakan akal yang waras. Hanya dengan memiliki emosi yang baik sahaja seseorang itu dapat memimpin diri dan seterusnya memanfaatkan ilmu yang diperolehinya untuk kesejahteraan masyarakat dan negara.


Oleh itu, untuk menjamin anak-anak Islam berkembang dengan sifat-sifat yang sempurna, pendidikan yang menjurus kepada cara untuk memelihara emosi yang baik perlu ada dalam kurikulum yang diajarkan. Sebagai contoh mengajar mereka membentuk jati diri melalui penerapan nilai-nilai murni yang boleh diajarkan sama ada secara formal atau informal. Penekanan terhadap nilai-nilai murni dalam pendidikan di sekolah mampu melahirkan seorang individu yang mempunyai mental yang sihat.

Kelima : Aspek Sosial.

Perkembangan sosial kanak-kanak merupakan satu proses perkembangan yang membolehkan kanak-kanak berinteraksi dengan orang lain mengikut cara yang boleh diterima oleh sesuatu masyarakat serta budaya. Pendek kata perkembangan sosial melibatkan proses sosialisasi yang membolehkan kanak-kanak mempelajari tingkah laku sosial atau melakukan penyesuaian sosial dalam sesuatu persekitaran atau lingkungan sosial.

Perkembangan sosial kanak-kanak dapat dikaji melalui beberapa aspek sosialisasi yang penting seperti proses peniruan dan identifikasi, aktiviti bermain, perkembangan kongnisi sosial, persahabatan dan perhubungan dengan rakan sebaya.

Sepanjang proses sosialisasi, kanak-kanak mempelajari tradisi, kepercayaan, nilai, dan adat yang dianuti oleh kumpulan sosial mereka. Mereka juga mempelajari peraturan -peraturan sosial yang diamalkan oleh sesuatu kumpulan sosial. Misalnya, mereka mempelajari cara pemaparan emosi yang sesuai,dan cara mentafsir tingkah laku dan pernyataan emosi orang lain dengan tepat. Proses sosialisasi ini pula ditentukan pula oleh konteks budaya. Tingkah laku sosial yang sesuai bagi sesuatu budaya mungkin dianggap tidak sesuai bagi budaya lain. Namun demikian, terdapat banyak tingkah laku sosial yang bersifat universal dan merentasi pelbagai kumpulan etnik dan budaya

Keenam : Aspek Kepimpinan.

Selain daripada usaha untuk memperkembangkan potensi murid-murid dari aspek (rohani, jasmani, kognitif, emosi, dan sosial), ciri-ciri kepimpinan juga amat perlu diajar kepada mereka. Aspek ini akan mengukuhkan lagi potensi dan perkembangan mereka dari segi yang disebutkan di atas. Anak-anak di peringkat awal usia perlu didedahkan kepimpinan dalam Islam walaupun dengan hanya menceritakan kisah-kisah Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda.

Kandungan kurikulum perlu memasukkan elemen-elemen sejarah yang dapat menjelaskan tentang sifat-sifat kepimpinan yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin agung Islam pada masa dahulu. Berdasarkan pembelajaran tersebut anak-anak Islam yang hendak kita bentuk ini akan lahir sebagai seorang yang mempunyai kemahiran memimpin dan mewarisi sifat-sifat kepimpinan. Dengan itu juga mereka pastinya dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Sahabat yang dimuliakan,

TASKA atau persekolahan merupakan sebuah institusi yang awal diwujudkan sebelum kanak-kanak itu masuk alam persekolahan, dengan tujuan melahirkan individu-individu berguna, berwibawa serta dapat mencapai apa yang dikehendaki. Dalam konteks pendidikan Islam, berguna yang dimaksudkan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat, bangsa, agama mahupun negara pada masa akan datang. Berwibawa pula membawa pengertian seseorang itu mampu memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan, sama ada tanggungjawab itu diberikan oleh orang lain mahupun diperintahkan oleh Allah S.W.T. Dengan adanya ciri-ciri tersebut, insya Allah anak-anak Islam akan menjadi seorang berkebolehan dari semua segi.

Berdasarkan daripada perbincangan-perbincangan yang telah dibuat sebelum ini, maka dapatlah dirumuskan bahawa pendidikan kepada anak-anak Islam perlu merangkumi aspek-aspek berikut:

1. Pendidikan akal dan persiapan fikiran. Allah menyuruh manusia merenungi kejadian langit dan bumi agar manusia beriman kepadaNya. Walaupun seawal usia 4 tahun mereka boleh diajarkan merenung keindahan ciptaan Allah SWT.

2. Mengembangkan potensi dan bakat semula jadi kanak-kanak. Islam adalah agama fitrah. Ajarannya tidak terasing daripada tabiat semulajadi manusia, bahkan ia sesuai dengan fitrah kejadian manusia; tidak ada kerumitan atau perkara luar biasa.

3. Memberi kekuatan dan potensi generasi muda dan mendidik mereka sebaik-baiknya, sama ada lelaki ataupun perempuan.

4. Berusaha untuk menyeimbangkan segala potensi dan bakat manusia.

Justeru, untuk melahirkan insan yang soleh dan seimbang dari segi rohani, jasmani, kognitif, emosi, sosial, dan kepimpinan , maka individu-individu khususnya anak-anak Islam perlu diajar dengan kurikulum yang sesuai dan dapat memenuhi tuntutan agama kita agar mereka ini akan lahir sebagai seorang insan mukmin yang dapat memikul tanggungjawab untuk memajukan diri, keluarga masyarakat, negara dan paling penting untuk agama. Oleh demikian, adalah diharapkan agar orang muslim, khususnya murid-murid mengambil peluang yang ada untuk mempelajari ilmu yang disampaikan kerana ilmu itu adalah sunnah dan ajaran Rasulullah.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Apa yang di bawa oleh rasul hendaklah kamu mengikutinya, sedang yang dilarang, hendaklah kamu menjauhinya”. (Surah al-Hasyr ayat 7)

Adalah diharapkan dengan adanya kandungan kurikulum pendidikan yang baik, matlamat untuk melahirkan insan mukmin yang soleh akan terlaksana.