Saturday, July 28, 2012

Terdapat 10 Keistimewaan Untuk Orang Berpuasa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah hingga kehari ini Allah SWT masih memanjangkan umur kita dan mengizinkan kita untuk terus melakukan ibadah puasa dengan hati yang penuh ikhlas.

Semoga kita sama-sama dapat meghayati kemuliaan dan keistimewaan ibadah puasa yang fardukan oleh Allah SWT  dengan memahami hikmah dan kebaikan ibadah puasa ini akan menambahkan keimanan dan ketakwaan kepada-Nya.

Sayyid Muhammad bin Alwi Al Maliki mengatakan orang yang berpuasa mempunyai 10 keutamaan yang diberikan Allah SWT di antaranya ialah:

Pertama, Allah memberikan keistimewaan kepada umat yang berpuasa dengan menyediakan satu pintu khusus di Syurga yang dinamai Al Rayyan. Pintu Syurga Al Rayyan ini hanya disediakan untuk umat Islam yang berpuasa.

Sabda Nabi SAW. dalam satu hadisnya yang bermaksud : " Pintu Rayyan hanya diperuntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadan, maka tak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dan Ahmad).

Kedua, Allah telah mengfungsikan puasa umat Nabi Muhammad SAW  sebagai benteng yang kokoh dari seksa api neraka sekaligus tirai penghalang dari godaan hawa nafsu. Dalam hal ini Nabi SAW  bersabda maksudnya : “Puasa (Ramadan) merupakan perisai dan benteng yang kokoh dari seksa api neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Al Baihaqi).

Nabi SAW menambahkan pula bahawa puasa yang berfungsi sebagai perisai itu layaknya perisai dalam kancah peperangan selama tidak dinodai oleh kedustaan dan mengumpat. 
(Hadis Riwayat Ahmad, An Nasa`i, dan Ibnu Majah).

Ketiga, Allah memberikan keistimewaan kepada ahli puasa dengan menjadikan bau mulutnya itu lebih harum dari minyak kasturi. Sehingga Nabi SAW  berkata demikian, “Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih semerbak di sisi Allah dari bau minyak kasturi.”

Keempat, Allah memberikan dua kebahagiaan bagi ahli puasa iaitu ketika berbuka puasa dan ketika bertemu dengan Allah kelak di hari akhirat. 
 
Orang yang berpuasa ketika berbuka perasaannya rasa bersyukur dimana bersyukur termasuk salah satu ibadah dan zikir. Syukur yang terungkap dalam kebahagiaan kerana telah diberi kemampuan oleh Allah untuk menyempurnakan puasa di hari tersebut sekaligus berbahagia atas janji pahala yang besar dari-Nya. 
 
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Orang yang berpuasa mempunyai dua kebahagiaan. Iaitu berbahagia ketika berbuka dan ketika bertemu Allah.” (Hadis  Riwayat Muslim).

Kelima, puasa telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai medan untuk menempa kesihatan dan kesembuhan dari berbagai  penyakit. Nabi SAW bersabda maksudnya : “Berpuasalah kalian, nescaya kalian akan sihat.” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Abu Nu`aim).

Sayyid Muhammad  menegaskan bahawa rahasia kesihatan di balik ibadah puasa adalah bahawa puasa menempah tubuh kita untuk melumatkan racun-racun yang mengendap dalam tubuh dan mengosongkan bahan-bahan kotor lainnya dari dalam tubuh.
 
Menurut pendapat beliau puasa ialah cara mendapatkan kesihatan bagi seorang hamba guna meningkatkan kadar ketakwaan yang merupakan tujuan utama puasa itu sendiri.  
 
Firman Allah SWT makasudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah  Al Baqarah ayat 183).

Keenam, keutamaan berikutnya yang Allah SWT berikan kepada ahli puasa adalah dengan menjauhkan wajahnya dari seksa api neraka. Matanya tak akan sampai melihat seksaan api neraka dalam bentuk apapun juga. 
 
Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Barangsiapa berpuasa satu hari demi di jalan Allah, dijauhkan wajahnya dari api neraka sebanyak (jarak) tujuh puluh musim.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Ahmad dan Nasa`i).

Ketujuh, dalam Al Quran Allah berfirman, “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.” (Surah At Taubah ayat 112).

Sebagian ulama ahli tafsir menerangkan bahawa orang –orang yang melawat (As Saihuun) pada ayat tersebut adalah orang yang berpuasa sebab mereka melakukan lawatan (kunjungan) kepada  Allah SWT. Makna lawatan, tegas beliau, di sini adalah bahawa puasa merupakan penyebab mereka (orang yang berpuasa) boleh sampai kepada Allah. Lawatan kepada Allah di buktikan dengan meninggalkan seluruh kebiasaan yang selama ini dilaksanakan  (contoh makan, minum, mendatangi isteri di siang hari) serta menahan diri dari rasa lapar dan dahaga.

Sayyid Muhammad cuba mentafsirkan ayat 10 dalam Surah Az Zumar : “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” 
 
Orang-orang yang bersabarlah maksudnya adalah orang yang berpuasa sebab puasa adalah nama lain dari sabar. Di saat berpuasalah, orang-orang yang bersabar (dalam beribadah puasa) memperoleh ganjaran dan pahala yang tidak terhitung banyaknya dari Zat Yang Maha Pemberi iaitu Allah SWT.

Kelapan, ketika puasa inilah Allah SWT memberi keistemewaan dengan menjadikan segala aktiviti orang yang berpuasa sebagai ibadah dan ketaatan kepada-Nya. Kerana  orang yang berpuasa dan ia meninggalkan ucapan yang tidak berguna (diam) adalah ibadah serta tidurnya dengan tujuan agar kuat dalam melaksanakan ketaatan di jalan-Nya juga ibadah. 
 
Dalam satu hadis  riwayat Ibnu Mundih dinyatakan, “Diamnya orang yang berpuasa adalah tasbih, tidurnya merupakan ibadah, dan doanya akan dikabulkan, serta perbuatannya akan dilipatgandakan (pahalanya).”

Kesembilan, di antara cara yang Allah SWT kenakan dalam memuliakan orang yang berpuasa, bahawa Allah SWT menjadikan orang yang memberi makan berbuka puasa pahalanya sama seperti dengan orang yang berpuasa itu sendiri meski dengan sepotong roti atau seteguk air. Dalam satu riwayat Nabi SAW bersabda maksudnya : " Seseorang yang memberi makan orang yang puasa dari hasil yang halal, akan dimintakan ampunan oleh malaikat pada malam-malam Ramadan meski hanya seteguk air. (Hadis Riwayat  Abu Ya`la).

Kesepuluh, orang yang berbuka puasa dengan berjemaah demi melihat keagungan puasa, maka para malaikat akan berselawat (memintakan ampunan) baginya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita menghayati 10 keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang berpuasa ikhlas semata-mata mencari keredaan-Nya. Di harapkan sehingga penghujung bulan Ramadan, semua dosa-dosa kita di ampunkan oleh Allah SWT., dapat mendapat pembebasan daripada api neraka dan memperolehi takwa kepada Allah SWT.

No comments: